31/12/2017

AZAM 2018


Yang dinyatakan di sini merupakan azam dan cita-cita hamba bagi tujuan perkongsian dan tambah baik. Moga-moga azam yang tercatat sentiasa bersemarak sepanjang tahun 2018 dan kekal untuk tahun yang mendatang. Doakan hamba supaya mampu melaksanakan cita-cita yang tercatat di sini. 

1. Menjadi hamba Tuhan yang soleh dan bertaqwa. (.....sengaja dipadamkan untuk catatan peribadi hamba ......) Juga meningkat ketinggian akhlak dalam perbuatan, percakapan dan tilikan hati. Pada perbuatan yakni menjadi seorang yang lebih rendah hati dan sopan santun dalam bermuamalah. Juga bersifat tenang dalam setiap urusan dan masalah yakni bijak mengawal emosi dan amarah. Pada percakapan yakni penggunaan bahasa yang baik dan sering berfikir dahulu dalam pertuturan. Pada tilikan hati yakni sentiasa bermuhasabah dan bersangka baik.

2. Cemerlang dalam Masters bagi bidang pengajian Ekonomi di UM. Azam ini melangkaui tahun 2018 yakni sehingga pertengahan tahun 2019. Berazam untuk cemerlang bagi peringkat pascasiswazah yakni menjadikan pensyarah sebagai sumber rujukan utama dalam pengajian, sentiasa bersedia sebelum menghadiri kelas, berdedikasi untuk mengulangkaji pengajian dan menyempurnakan tugasan yang diberikan sebaik-baiknya.
 
3. Mengeksplorasi undang-undang persaingan dari sudut ekonomi. Berazam untuk membaca buku-buku asas undang-undang persaingan dan menguasai teori-teori asas dalam undang-persaingan, sumbangan ekonomi kepada undang-undang persaingan seperti teori dan metodologi ekonomi serta analisis ekonomi dalam kes-kes antipersaingan. Tambahan, mengambil peluang sebaiknya untuk mempelajari asas dan teknik penyelidikan dalam kajian makanan di Malaysia supaya menjadi nilai tambah bagi pembangunan karier pada masa hadapan.

4. Berazam untuk menjalani kehidupan yang baik dan sihat dari sudut pemakanan dan gaya hidup. Pada pemakanan iaitu berdisiplin untuk menghindari pemakanan yang kurang manfaat dan memberi kesan buruk pada kesihatan jasmani dan akal. Untuk gaya hidup sihat iaitu sentiasa bersenam sama ada menurut teknik cardio atau weight training. Sentiasa mengingati kata-kata "Akal yang cerdas itu pada badan yang cergas".

5. Menyemarakkan lagi hobi-hobi baru iaitu pembacaan sastera Inggeris dan menggesek biola. Pembacaan sastera Inggeris akan dijuruskan khususnya dalam sastera klasik Inggeris. Biola pula akan dijuruskan kepada dua perkara iaitu asas teori musik dan latihan. Mengetahui asas teori musik adalah sangat mustahak bagi mempercepatkan proses pembelajaran.

Yang tidak dicatat di sini bukanlah bermakna tidak penting dan ditinggalkan terus kerana menulis azam juga merupakan sebuah eksplorasi untuk membentuk azam yang lain. Moga teman yang membaca azam ini mendoakan diri hamba yang hina dina ini. Wallahua'lam.

27/12/2017

MONOLOG Bersama Tuan Puteri.

Di kala petang yang suram. Terduduk seorang lelaki di atas batas tanah yang disediakan oleh ayahnya. Maka mengalamunlah lelaki tersebut sambil berdialog dengan seorang Tuan Puteri Halimunan.

"Tuan Puteri, belasungkawa sedang menyelubungi hati aku dan menjarah jiwa aku sedikit demi sedikit. Aduh pedihnya jiwa aku pada saat ini"

"Tuan Putera yang aku sangat kasihi, mengapa sampai begitu sekali kekasihku? Apa yang sudah berlaku ke atas diri engkau Tuan Putera yang aku sanjungi? Mengapakah jiwamu berbolak balik sehingga sebegitu rupa? Ceritakan pada aku akan kisahmu."

"Aku ditinggal kekasihku, wahai Tuan Puteri."

"Tuan Putera kekasih aku, akulah kekasihmu ketika engkau senang, ketika engkau bermuram durja. Akulah kekasihmu yang abadi yang setia di sisi engkau. Akulah kekasihmu yang seorang dan selamanya, kasihanilah aku Wahai Tuan Putera"

"Tuan Puteri, dikau kekasih monolog aku Tuan Puteri, aku ciptakan dikau untuk menjadi teman monolog aku di saat aku lemah, sedih, dan di kala aku jatuh. EngkauTuan Puteri yang tidak terlahir dari rahim seorang wanita, tidak boleh dilihat pegang, tidaklah juga seorang yang berjasad jasmani yang boleh aku sentuh dah usap. Engkau aku anggap sebagai kekasih, tetapi mustahil untuk kita bersama di dunia yang nyata. Mustahil Tuan Puteri."

"Jikalau begitu asal muasal aku dan kedaan Engkau Wahai Tuan Putera. Sangguplah aku setia menjadi kekasih monolog dikau Puteraku. Kerana kelahiran itu membawa kepada kematian, penglihatan itu pada mata hati, dan jasad jasmani itu boleh luluh dan hancur. Pada akhirnya, ingatan engkaulah yang teristimewa bagi aku Wahai Tuan Putera yang bijaksana. Maka ceritakan padaku akan kisah percintaan dikau yang menyedihkan itu. Hamba setia mendengar, hamba sedia bermuram durja bersama Tuan Putera.

27 Disember 2017

15/12/2017

Hai lah kucing.

Di kala aku gembira dan bersuka hati. Jauhnya engkau dari aku. Aku mengusap engkau mencakar, aku mendekat engkau menjauh.

Sebaliknya, pada saat yang lara dan duka. Engkau mendekat manja padaku. Engkau merayap di atas ribaku. Engkau sudi menerima belaian ku.

Hai lah kucing.

Bagaiamana engkau tahu hati aku yang lara yang memerlukan teman dan kekasih. Bagaiamana engkau tahu hati aku yang penuh dengan kedukaan dan penyesalan hingga engkau sanggup merebahkan diri dikau di sisiku.

Hai lah kucing.

Andainya engkau seorang wanita, akan aku lamar akan dikau.

Untuk,
Kelabu.

Daripada,
siduka

28/06/2015



Monolog Maninjau I


Sepanjang keberadaan di Danau Maninjau, aku sering termenung memikirkan pelbagai perkara, kadang-kadang termenung itu menyebabkan aku tidak tidur.
Termenung melihat alam yang sangat sangat indah diciptakan oleh Tuhan. Aku tanyakan pada diri untuk apa alam ini diciptakan seluas ini, secantik ini dan setenang ini. Aku lihat air yang bening mengalir indah, harmonis, dan tenang di Danau Maninjau. Beningnya air tersebut hingga pada waktu petangnya, air tersebut bertindak seperti cermin bersih yang memantulkan pemandangan indah bukit dan awan yang mengelilingi danau tersebut.
Aku tanyakan lagi kepada diri, untuk apa alam ini diciptakan sedemikian rupa, apa di sana punya tanda-tanda untuk menunjukkan sesuatu.
Aku teringat pembelajaranku tentang sejarah falsafah yang mengisahkan ahli falsafah seperti Thales, Anaximes dan Anaximender berfalsafah bahawa alam ini diciptakan dari api, angin dan air. Adakah renungan ahli-ahli falsafah ini ke atas alam menyebabkan teori sebegitu muncul. Apakah alam ini telah menunjukkan sesuatu dan mengilhami mereka, si ahli falsafah.
Aku lihat gunung ganang yang mengelilingi Danau Maninjau, gunung-ganangnya tegap berdiri, tercacak kukuh melindungi Danau dari anasir luar. Gunung ganang itu seperti penjaga kubu yang bersedia menyerang hendap anasir luar yang cuba mengganngu gugat keharmonian Danau Maninjau. Di atasnya tergantung awan-awan putih seumpama melindungi Danau Maninjau dari terik siang.
Lantas aku teringat akan pesanan prof Zaidi tentang surah al-Baqarah, ayat yang menceritakan tentang kejadian Adam dan kepandaian Adam dalam mengenal 'tanda-tanda'/asma' yang dicipta. Tanda-tanda dicipta bertujuan untuk menunjukkan sesuatu yang ditanda. Sebagai contoh, alamat rumah sebagai tanda digunakan untuk menunjukkan rumah bukan menunjukkan alamat tersebut. Begitulah alam, alam diciptakan untuk menjadi ayaat/tanda/asma kepada Sang Pencipta. Kita punya pencipta yang tiap masa memerhatikan gerak geri manusia. Apakah kita masih punya secebis takbur membesar diri, mengacung hidung ke langit, mengistihar akulah yang berkuasa. Tertunduk malu, menitik air mata mengenangkan kelemahan diri.
Lantas, aku tersandar lemah. Tatkala melihat Danau Manijau dari sudut yang lebih tinggi di Kelok 34. Jalan menuju ke Bukittingi. Rumah Gadang tersergam indah di atas bukit dilatari pemandangan luas Danau Maninjau. Rumah tersebut dihiasi dengan padi sawah yang menghijau dan pohon renek.
Aku terkenangkan pesan Hamka dalam bukunya Falsafah Hidup tentang alam. Beliau menerangkan tentang ilmu yang dikutip dan diisytiharkan oleh manusia hasil dari pemerhatian manusia ke atas alam. Renungan ke atas alam ini membibitkan 'keberanian' di dalam hati manusia untuk mengisytiharkan ilmu-ilmu seperti matematik, biologi, astronomi dan lain-lain. Manusia tidak punya keberanian jika sunnatullah/hukum alam ini tidak terpancar ke dalam mata mereka. Kata-kata 'Alam Takambang jadi Guru' merupakan pepatah Minangkabau sebagai manifestasi alam dijadikan guru untuk pedoman hidup.
Namun, Hamka tidak berhenti sekadar itu, beliau mengulas bahawa alamyang dilihat(manzurah) ini merupakan antara tanda-tanda yang wujud di sekitar kita. Yang lebih utama ialah menilik ke dalam diri sendiri iaitu alam kecil. Bak kata Socrates, "Alam ialah manusia besar, manusia ialah alam kecil." Tiliklah ke dalam diri sedalamnya kerana di sana Allah titipkan hikmah dan pedoman bagi manusia. Untuk menuntut ilmu alam tidak perlu mencari alam yang banyak, cukup sekadar membersihkan hati sanubari dari segala kekotoran. Moga, tersingkap hijab yang menjarakkan manusia dengan Tuhan.

22/04/2015


Keilmuan

Kawan, kamu tahu kenapa aku sayangkan tempat ini? Meluangkan masa sehari semalam berlegar-legar di bumi ini?
Kenapa?
Kerana suasananya. Suasana keilmuan yang wujud di sana sini. Kamu bebas ke mana sahaja sambil menghirup udara keilmuan.
Benarkah? Mengapa hidungku tersumbat dari menghidu, telingaku ter'pekak' dari mendengar, mataku kabur dari melihat suasana tersebut.
Kawan, suasana itu sudah terwujud lama dan mendiam di tempatnya. Tugas kamu untuk mencari dan menggali suasana itu. Umpama batu berlian yang tertanam jauh ke bumi yang dilitupi selut. Gali, bersihkan dan nikmati cahayanya.
Jadi harus bagaimana aku bermula untuk merasainya?
Hargailah ilmu sebagaimana kamu menghargai diri kamu. Tetapi harus diingat, penghargaan itu bermula dari kecintaan, bagaimana mungkin kamu menghargai sesuatu tanpa cinta. Kosong dan pura-pura.
Dari cinta wujud penghargaan, maka wujudlah keinginan untuk memilikinya. Keinginan yang terbit dari hati, umpama matahari yang terbit dari arah timur, tidak cukup kamu melihat tetapi kamu mahu memilikinya! Mendapatkannya merupakan satu hajat, menitikkan satu usaha dan membuahkan segunung nikmat.
Semua ini harus bermula dari monolog, monolog diri.

30/03/2015




Apa itu Ekonomi?

“Economics is the study of how society chooses to allocate its scarce resources for the production of goods and services in order to satisfy unlimited wants.”1

Definisi di atas yang diperkenalkan oleh Lionel Robbins telah menjadi pegangan setiap pelajar ekonomi. Secara mudahnya, definisi ini memberi gambaran bahawa ekonomi merupakan interaksi manusia untuk memuaskan kemahuan mereka menggunakan sumber-sumber yang ada tanpa mengambil berat hubungan-hubungan yang lain.

Namun, jika kita menyingkap perbahasan ekonomi dengan lebih mendalam, kita akan menyedari bahawa perbincangan ekonomi tidak terhad kepada definisi di atas bahkan meliputi bidang psikologi, sosiologi, agama, matematik, undang-undang, ekologi dan lain-lain.  Secara umum, cakupan ekonomi yang diajar di dalam kelas hanyalah berlegar sekitar definisi di atas.

25/11/2014




PENGENALAN
Hasil pemerhatian Za'ba atas perangai masyarakat Melayu yang suka bergantung pada orang lain.
Terbahagi kepada 4 bahagian :
1. keburukan perangai yang bergantung kepada orang Lain
2. Bertaqlid secara membuta tuli
3. Kebajikan vs Kejahatan
4. Kejatuhan dan kepulihan Umat Islam
Bahagian Pertama
- Dua faktor timbulnya Sikap suka bergantung pada orang lain adalah :
*Tidak ada keyakinan pada diri sendiri
*sikap seperti " kutu di atas kepala"
- Sikap pertama: rendah diri yang melampau. Merasakan diri tidak mempunyai kemampuan.
- Sikap kedua : "malas"
Tidak mahu berusaha sendiri. Sentiasa mengharapkan rezeki dari orang lain.

22/11/2014


desakan itu kembali
seolah-olah memaksa diri
untuk bersendiri
dari rutin sehari

bisikan itu terus kembali
bertali-tali
meronta-ronta agar hati
terus berhati-hati

adakah sekadar intuisi
datang dan pergi
tidak kembali
atau petanda Ilahi
untuk kembali
berfikir tentang diri

apakah perasaan ini?
mengepung sanubari,
lalu terberhenti
hari ke hari. 

boleh jadi 
ia petunjuk Rabbani
agar terus berefleksi
untuk sentiasa mengingati
bukanlah kebiasaan itu
manifestasi
pada 
yang hakiki.

ahmad amin
2337

14/09/2014


`Matlamat dicerna,
Dikongsi bersama,

Kamu semua,
Punya cita-cita,

Cita-cita kita,
Tiada berbeda,

Mahu manusia,
Menjadi bahagia,

Mahu manusia,
Menjadi manusia,

Mahu manusia,
Juga bercita-cita,

Harapannya,
Agar kita bersama,

Bersama-sama,
Capai cita-cita,

Agar kita,
Tidak dilupa
dan
Tak terlupa.

Ahmad Amin
0701AM
15092014

01/09/2014




Bedah buku bertajuk Sejarah Sosiobudaya Melayu. Saudara Ridzuanshah memberi fokus kepada sejarah pendidikan di Malaysia. Bermula dari sistem pendidikan pondok hingga sistem pendidikan vernakular.
Pembentangan diteruskan dengan diskusi aktif yang menjurus kepada kelemahan pendidikan di Malaysia.
Sistem pendidikan di Malaysia yang tidak meraikan kepelbagaian ank murid dari pelbagai latar belakang. Sistem pendidikan yang hanya menekankan bagaimana untuk mendapat markah yang tertinggi dalam peperiksaan tanpa menilai potensi anak murid.
Markah yang tinggi bakal menduduki kelas yang paling hadapan. Merekalah yang bakal dipuji dan dijaga sebaiknya.
Markah yang corot ditempatkan di kelas belakang yang dicop sebagai pemalas dan menyusahkan.
Selain itu, sistem pendidikan yang tidak menerapkan nilai-nilai murni dan memandang remeh pembentukan nilai dari sudut kefahaman agama yang melahirkan manusia yang tidak menghargai ilmu sedangkan martabat ilmuan tinggi dalam agama. Maka lahirlah manusia yang haru biru akhlaknya dan memandang rendang kepentingan ilmu.
Sistem pendidikan yang berorientasikan peperiksaan (exam-oriented) semata-mata membunuh potensi manusia yang merencatkan ketamadunan sesebuah masyarakat.
Pembentukan guru juga dibincangkan kerana guru merupakan salah satu kayu ukur bagi kejayaan pendidikan dalam sesebuah negara. Guru yang bersifat kaku (teknik mengajar yang membosankan), keras (memukul rata anak murid dari sudut kemampuan) dan tidak ilmiah (hanya mampu berbicara dalam skop sempit)
merencatkan lagi pemberdayaan masyarakat dari peringkat bawah melalui sistem pendidikan. (mungkin boleh tonton cerita Taare Zamen Par yang mengisahkan akhlak seorang guru yang meraikan anak murid yang menghidap penyakit dyslexia)
Kami mengecilkan skop perbincangan pendidIkan dalam sesebuah gerakan. Sebuah gerakan yang jitu, teguh dan berkompetensi mestilah melahirkan ahli dari sistem pendidkan tersusun yang meraikan ahli. Bukan semata-mata membincangkan tentang tajuk disiplin ahli dalam gerakan namun mendidik ahli untuk bersifat mandiri (tidak bergantung pada gerakan seratus peratus) dalam pembinaan diri (fikrah-amal-intelek dan lain-lain) dan sentiasa berdaya saing untuk mengislahkan masyarakat. Gerakan seharusnya menjadi platform untuk ahli maju ke hadapan dalam bidang masing-masing. (menyediakan platform bukan memberi alasan tidakmampu)
Insyallah diskusi ini akan diadakan setiap minggu kerana kami yakin pemberdayaan umat bermula dengan pendidikan. Membaca buku merupakan wadah pendidikan yang paling mudah bagi mahasiswa.

20/07/2014


Membelek gambar-gambar lama. Terjumpa gambar ini.


Gambar ini diambil semasa kami menyertai pertandingan Ihtifal 2011 di SMA Kedah.
Aku masih ingat pada waktu itu aku menyertai pertandingan kalimatussobah (ucapan pagi) semasa tingkatan 5 atas permintaan ustaz yang tidak dapat ditolak.

Terlintas peristiwa ini di kepala,

"Aku nak kau berdiri atas tempat tinggi itu dan baca teks ucapan tersebut kuat-kuat.". Dia mengarah tegas sambil berdiri di hadapan aku di tempat yang lebih rendah.

20/04/2014


Zainul Ariffin, sahabat yang baik yang banyak mengubah diri ini.


"Ali(bukan nama sebenar)!, kenapa pakai seluar pendek!?". Aku menyoal dengan kasar.

Belum sempat beliau membuka mulut.

Aku menyambung, "Kau tahu tidak pakai seluar pendek ini nampak aurat?!. Berdosa!".

26/02/2014



Malu dengan mereka
Jalannya sukar dipenuhi cacian dan makian.

Aku di sini
Masih lagi merangkak melawan godaan,
"Adakah dia bakal menjadi milikku Ya Tuhan"

Malu dengan mereka
Berjuang dengan melata di muka bumi demi menyebarkan risalah ini.

Sedang aku masih berkira-kira menghitung 'kesibukan' dan melawan bisikan "futurkah aku ini."

Malu dengan mereka,
Pahit maung sudah sebati di tekak. Letihnya mengalir sebati dengan darah. Namun disimpan yang baik dan buruk di dada. Tidak diwarwarkan.

Terasa angkuhnya diri mendabik dada. Seguris luka di pipi, dicanang di dunia fana.
Sedang amal masih bertatih menahan dosa yang membelit di badan.

Malunya diri.

03/02/2014




"Bro, dapat berapa CGPA?"

"Biasa-biasa sahaja."

"Kau?"

"Aku? Entah. Rendah. Sedih rasa. Malu."

"Kenapa pula?"

"Malu dengan mereka yang CGPA tinggi."

Sketsa selepas mendapat keputusan peperiksaan akhir.

28/01/2014



"Kasihannya dia."

"Kenapa?"

"Selalu kritik orang."

"Aishh, dia kritik orang pun kau nak kasihan ke?"

"Mestilah"

"Kenapa pula?"

10/01/2014

                                                      Ilmu dan Kehidupan



"Abang, dari mana saya boleh belajar tentang falsafah ya?" tanya saya.

"Perlukah saya ambil minor untuk subjek falsafah?" saya menambah.

"Awak ini, kelas itu hanyalah sebagai tempat mencari kunci, kelas bukanlah
segala-galanya. Isi itu lebih penting." Senior menjawab.

30/12/2013

                                    Sahabat dan Gerakan

Sahabat, ukhuwwah dan organisasi

"Tolong angkat meja ini dan letakkan di depan" saya mengarah.

"Tapi meja ini bersambung, tak boleh diangkat" rungut mereka.

"Meja ini berat dan panjang, susah" tambah yang lain.

"Tak mengapa, angkat sama-sama" pujuk saya.

18/12/2013

Pengalaman dan Ilmu, Mematangkan Diri

Bersama Madam SalwaHana yang mengajar Financial Accounting Fundamental.

Bismillah.

Sudah sampai ke penghujung semestar. Semestar 1. Hujung bulan ini akan menduduki peperiksaan.

Sepanjang satu semester ini banyak yang aku belajar. Tentang diri dan kehidupannya.

Aku belajar mengenali manusia. Mengenali aktivis yang menyantuni anak yatim. Mengenali orang Bangladesh, Sudan, Palestin dan lain - lain di UIA. Aku belajar menyapa orang yang asing dalam kehidupan.Mempelajari cara menyantuni 'foreigner', sambil mempraktikkan bahasa inggeris. Caranya aku kutip dari sahabat.

10/12/2013

Anak Yatim, Melebarkan Horizan Kasih Sayang




Hari yang merupakan hari bersejarah. Memberi kesan dan mengukir pengalaman baru. Diizinkan untuk menjejakkan diri ke rumah anak yatim di Keramat bersama krew - krew Teach For The Needs(TFTN).

Pada awalnya, agak keberatan untuk ke sana. Janggal. Dan tidak mahir berkomunikasi dengan anak - anak kecil, yang comel.

09/12/2013

HARAPAN UNTUK AGM EMSS


Barisan Kepimpinan EMSS 2012/2013

AGM EMSS. Harapan saya agar calon - calon yang menduduki kerusi EMSS dapat menghilangkan dahaga mahasiswa ekonomi dengan wacana ilmu yang sihat yang bersifat mesra alam.

Tanggungjawab pemimpin bukan sekadar mewujudkan suasana berprogram sepanjang waktu tanpa menitikberatkan nilai yang wujud dalam program yakni nilai ilmu, budi dan kebajikan mahasiswa.