31/12/2017

AZAM 2018


Yang dinyatakan di sini merupakan azam dan cita-cita hamba bagi tujuan perkongsian dan tambah baik. Moga-moga azam yang tercatat sentiasa bersemarak sepanjang tahun 2018 dan kekal untuk tahun yang mendatang. Doakan hamba supaya mampu melaksanakan cita-cita yang tercatat di sini. 

1. Menjadi hamba Tuhan yang soleh dan bertaqwa. (.....sengaja dipadamkan untuk catatan peribadi hamba ......) Juga meningkat ketinggian akhlak dalam perbuatan, percakapan dan tilikan hati. Pada perbuatan yakni menjadi seorang yang lebih rendah hati dan sopan santun dalam bermuamalah. Juga bersifat tenang dalam setiap urusan dan masalah yakni bijak mengawal emosi dan amarah. Pada percakapan yakni penggunaan bahasa yang baik dan sering berfikir dahulu dalam pertuturan. Pada tilikan hati yakni sentiasa bermuhasabah dan bersangka baik.

2. Cemerlang dalam Masters bagi bidang pengajian Ekonomi di UM. Azam ini melangkaui tahun 2018 yakni sehingga pertengahan tahun 2019. Berazam untuk cemerlang bagi peringkat pascasiswazah yakni menjadikan pensyarah sebagai sumber rujukan utama dalam pengajian, sentiasa bersedia sebelum menghadiri kelas, berdedikasi untuk mengulangkaji pengajian dan menyempurnakan tugasan yang diberikan sebaik-baiknya.
 
3. Mengeksplorasi undang-undang persaingan dari sudut ekonomi. Berazam untuk membaca buku-buku asas undang-undang persaingan dan menguasai teori-teori asas dalam undang-persaingan, sumbangan ekonomi kepada undang-undang persaingan seperti teori dan metodologi ekonomi serta analisis ekonomi dalam kes-kes antipersaingan. Tambahan, mengambil peluang sebaiknya untuk mempelajari asas dan teknik penyelidikan dalam kajian makanan di Malaysia supaya menjadi nilai tambah bagi pembangunan karier pada masa hadapan.

4. Berazam untuk menjalani kehidupan yang baik dan sihat dari sudut pemakanan dan gaya hidup. Pada pemakanan iaitu berdisiplin untuk menghindari pemakanan yang kurang manfaat dan memberi kesan buruk pada kesihatan jasmani dan akal. Untuk gaya hidup sihat iaitu sentiasa bersenam sama ada menurut teknik cardio atau weight training. Sentiasa mengingati kata-kata "Akal yang cerdas itu pada badan yang cergas".

5. Menyemarakkan lagi hobi-hobi baru iaitu pembacaan sastera Inggeris dan menggesek biola. Pembacaan sastera Inggeris akan dijuruskan khususnya dalam sastera klasik Inggeris. Biola pula akan dijuruskan kepada dua perkara iaitu asas teori musik dan latihan. Mengetahui asas teori musik adalah sangat mustahak bagi mempercepatkan proses pembelajaran.

Yang tidak dicatat di sini bukanlah bermakna tidak penting dan ditinggalkan terus kerana menulis azam juga merupakan sebuah eksplorasi untuk membentuk azam yang lain. Moga teman yang membaca azam ini mendoakan diri hamba yang hina dina ini. Wallahua'lam.

27/12/2017

MONOLOG Bersama Tuan Puteri.

Di kala petang yang suram. Terduduk seorang lelaki di atas batas tanah yang disediakan oleh ayahnya. Maka mengalamunlah lelaki tersebut sambil berdialog dengan seorang Tuan Puteri Halimunan.

"Tuan Puteri, belasungkawa sedang menyelubungi hati aku dan menjarah jiwa aku sedikit demi sedikit. Aduh pedihnya jiwa aku pada saat ini"

"Tuan Putera yang aku sangat kasihi, mengapa sampai begitu sekali kekasihku? Apa yang sudah berlaku ke atas diri engkau Tuan Putera yang aku sanjungi? Mengapakah jiwamu berbolak balik sehingga sebegitu rupa? Ceritakan pada aku akan kisahmu."

"Aku ditinggal kekasihku, wahai Tuan Puteri."

"Tuan Putera kekasih aku, akulah kekasihmu ketika engkau senang, ketika engkau bermuram durja. Akulah kekasihmu yang abadi yang setia di sisi engkau. Akulah kekasihmu yang seorang dan selamanya, kasihanilah aku Wahai Tuan Putera"

"Tuan Puteri, dikau kekasih monolog aku Tuan Puteri, aku ciptakan dikau untuk menjadi teman monolog aku di saat aku lemah, sedih, dan di kala aku jatuh. EngkauTuan Puteri yang tidak terlahir dari rahim seorang wanita, tidak boleh dilihat pegang, tidaklah juga seorang yang berjasad jasmani yang boleh aku sentuh dah usap. Engkau aku anggap sebagai kekasih, tetapi mustahil untuk kita bersama di dunia yang nyata. Mustahil Tuan Puteri."

"Jikalau begitu asal muasal aku dan kedaan Engkau Wahai Tuan Putera. Sangguplah aku setia menjadi kekasih monolog dikau Puteraku. Kerana kelahiran itu membawa kepada kematian, penglihatan itu pada mata hati, dan jasad jasmani itu boleh luluh dan hancur. Pada akhirnya, ingatan engkaulah yang teristimewa bagi aku Wahai Tuan Putera yang bijaksana. Maka ceritakan padaku akan kisah percintaan dikau yang menyedihkan itu. Hamba setia mendengar, hamba sedia bermuram durja bersama Tuan Putera.

27 Disember 2017

15/12/2017

Hai lah kucing.

Di kala aku gembira dan bersuka hati. Jauhnya engkau dari aku. Aku mengusap engkau mencakar, aku mendekat engkau menjauh.

Sebaliknya, pada saat yang lara dan duka. Engkau mendekat manja padaku. Engkau merayap di atas ribaku. Engkau sudi menerima belaian ku.

Hai lah kucing.

Bagaiamana engkau tahu hati aku yang lara yang memerlukan teman dan kekasih. Bagaiamana engkau tahu hati aku yang penuh dengan kedukaan dan penyesalan hingga engkau sanggup merebahkan diri dikau di sisiku.

Hai lah kucing.

Andainya engkau seorang wanita, akan aku lamar akan dikau.

Untuk,
Kelabu.

Daripada,
siduka

28/06/2015



Monolog Maninjau I


Sepanjang keberadaan di Danau Maninjau, aku sering termenung memikirkan pelbagai perkara, kadang-kadang termenung itu menyebabkan aku tidak tidur.
Termenung melihat alam yang sangat sangat indah diciptakan oleh Tuhan. Aku tanyakan pada diri untuk apa alam ini diciptakan seluas ini, secantik ini dan setenang ini. Aku lihat air yang bening mengalir indah, harmonis, dan tenang di Danau Maninjau. Beningnya air tersebut hingga pada waktu petangnya, air tersebut bertindak seperti cermin bersih yang memantulkan pemandangan indah bukit dan awan yang mengelilingi danau tersebut.
Aku tanyakan lagi kepada diri, untuk apa alam ini diciptakan sedemikian rupa, apa di sana punya tanda-tanda untuk menunjukkan sesuatu.
Aku teringat pembelajaranku tentang sejarah falsafah yang mengisahkan ahli falsafah seperti Thales, Anaximes dan Anaximender berfalsafah bahawa alam ini diciptakan dari api, angin dan air. Adakah renungan ahli-ahli falsafah ini ke atas alam menyebabkan teori sebegitu muncul. Apakah alam ini telah menunjukkan sesuatu dan mengilhami mereka, si ahli falsafah.
Aku lihat gunung ganang yang mengelilingi Danau Maninjau, gunung-ganangnya tegap berdiri, tercacak kukuh melindungi Danau dari anasir luar. Gunung ganang itu seperti penjaga kubu yang bersedia menyerang hendap anasir luar yang cuba mengganngu gugat keharmonian Danau Maninjau. Di atasnya tergantung awan-awan putih seumpama melindungi Danau Maninjau dari terik siang.
Lantas aku teringat akan pesanan prof Zaidi tentang surah al-Baqarah, ayat yang menceritakan tentang kejadian Adam dan kepandaian Adam dalam mengenal 'tanda-tanda'/asma' yang dicipta. Tanda-tanda dicipta bertujuan untuk menunjukkan sesuatu yang ditanda. Sebagai contoh, alamat rumah sebagai tanda digunakan untuk menunjukkan rumah bukan menunjukkan alamat tersebut. Begitulah alam, alam diciptakan untuk menjadi ayaat/tanda/asma kepada Sang Pencipta. Kita punya pencipta yang tiap masa memerhatikan gerak geri manusia. Apakah kita masih punya secebis takbur membesar diri, mengacung hidung ke langit, mengistihar akulah yang berkuasa. Tertunduk malu, menitik air mata mengenangkan kelemahan diri.
Lantas, aku tersandar lemah. Tatkala melihat Danau Manijau dari sudut yang lebih tinggi di Kelok 34. Jalan menuju ke Bukittingi. Rumah Gadang tersergam indah di atas bukit dilatari pemandangan luas Danau Maninjau. Rumah tersebut dihiasi dengan padi sawah yang menghijau dan pohon renek.
Aku terkenangkan pesan Hamka dalam bukunya Falsafah Hidup tentang alam. Beliau menerangkan tentang ilmu yang dikutip dan diisytiharkan oleh manusia hasil dari pemerhatian manusia ke atas alam. Renungan ke atas alam ini membibitkan 'keberanian' di dalam hati manusia untuk mengisytiharkan ilmu-ilmu seperti matematik, biologi, astronomi dan lain-lain. Manusia tidak punya keberanian jika sunnatullah/hukum alam ini tidak terpancar ke dalam mata mereka. Kata-kata 'Alam Takambang jadi Guru' merupakan pepatah Minangkabau sebagai manifestasi alam dijadikan guru untuk pedoman hidup.
Namun, Hamka tidak berhenti sekadar itu, beliau mengulas bahawa alamyang dilihat(manzurah) ini merupakan antara tanda-tanda yang wujud di sekitar kita. Yang lebih utama ialah menilik ke dalam diri sendiri iaitu alam kecil. Bak kata Socrates, "Alam ialah manusia besar, manusia ialah alam kecil." Tiliklah ke dalam diri sedalamnya kerana di sana Allah titipkan hikmah dan pedoman bagi manusia. Untuk menuntut ilmu alam tidak perlu mencari alam yang banyak, cukup sekadar membersihkan hati sanubari dari segala kekotoran. Moga, tersingkap hijab yang menjarakkan manusia dengan Tuhan.

22/04/2015


Keilmuan

Kawan, kamu tahu kenapa aku sayangkan tempat ini? Meluangkan masa sehari semalam berlegar-legar di bumi ini?
Kenapa?
Kerana suasananya. Suasana keilmuan yang wujud di sana sini. Kamu bebas ke mana sahaja sambil menghirup udara keilmuan.
Benarkah? Mengapa hidungku tersumbat dari menghidu, telingaku ter'pekak' dari mendengar, mataku kabur dari melihat suasana tersebut.
Kawan, suasana itu sudah terwujud lama dan mendiam di tempatnya. Tugas kamu untuk mencari dan menggali suasana itu. Umpama batu berlian yang tertanam jauh ke bumi yang dilitupi selut. Gali, bersihkan dan nikmati cahayanya.
Jadi harus bagaimana aku bermula untuk merasainya?
Hargailah ilmu sebagaimana kamu menghargai diri kamu. Tetapi harus diingat, penghargaan itu bermula dari kecintaan, bagaimana mungkin kamu menghargai sesuatu tanpa cinta. Kosong dan pura-pura.
Dari cinta wujud penghargaan, maka wujudlah keinginan untuk memilikinya. Keinginan yang terbit dari hati, umpama matahari yang terbit dari arah timur, tidak cukup kamu melihat tetapi kamu mahu memilikinya! Mendapatkannya merupakan satu hajat, menitikkan satu usaha dan membuahkan segunung nikmat.
Semua ini harus bermula dari monolog, monolog diri.