"Bro, dapat berapa CGPA?"
"Biasa-biasa sahaja."
"Kau?"
"Aku? Entah. Rendah. Sedih rasa. Malu."
"Kenapa pula?"
"Malu dengan mereka yang CGPA tinggi."
Sketsa selepas mendapat keputusan peperiksaan akhir.
Menghargai Agama dan Universiti
Agama, jika hanya berlegar dalam daerah halal haram, hilanglah kemanisan agama dan rahmat yang dibawa agama. Tiada rasa.Tiada hikmah dan himmah hidup beragama jika berpaut pada halal haram. Semata-mata.
CGPA. Andai hidup di universiti terikat dengan CGPA. Maka tunggulah masa dicekup sedih dan muram. Sentiasa gelisah mengejar "carry mark" dan gundah gulana menunggu keputusan peperiksaan akhir. Sentiasa.
"Kalau begitu, masa depan susah sebab CGPA rendah"
"Tidak semestinya."
Bilik kuliah tidak mampu melahirkan pemimpin dan hero bertaraf antarabangsa. Ia bergantung pada individu masing-masing. Bilik kuliah hanyalah tempat mencari kunci untuk menggali harta karun di luar bilik kuliah.
CGPA bukanlah penentu kehidupan mahasiswa. Ia hanyalah menjadi kayu ukur adakah mahasiswa mampu mengikut silibus atau tidak. Menguji kefahaman yang telah ditetapkan. Melainkan soalan yang diberi di luar kotak silibus. Tidak lebih dari itu.
Jadi mengapa mahu sedih?
Sedihlah apabila bergelar mahasiswa jurusan agama, namun tidak memahami tuntutan agama masa kini.
Sedihlah apabila bergelar mahasiswa jurusan ekonomi, tetapi tidak mampu menilai dan berfikir tuntutan ekonomi dan isu semasa.
Sedih bukan di atas perkara yang disilibuskan, tetapi sedih atas perkara yang menjadi silibus atau tidak menjadi silibus yang menjadi tuntutan Muslim.
Infiruu.

No comments:
Post a Comment