28/06/2015



Monolog Maninjau I


Sepanjang keberadaan di Danau Maninjau, aku sering termenung memikirkan pelbagai perkara, kadang-kadang termenung itu menyebabkan aku tidak tidur.
Termenung melihat alam yang sangat sangat indah diciptakan oleh Tuhan. Aku tanyakan pada diri untuk apa alam ini diciptakan seluas ini, secantik ini dan setenang ini. Aku lihat air yang bening mengalir indah, harmonis, dan tenang di Danau Maninjau. Beningnya air tersebut hingga pada waktu petangnya, air tersebut bertindak seperti cermin bersih yang memantulkan pemandangan indah bukit dan awan yang mengelilingi danau tersebut.
Aku tanyakan lagi kepada diri, untuk apa alam ini diciptakan sedemikian rupa, apa di sana punya tanda-tanda untuk menunjukkan sesuatu.
Aku teringat pembelajaranku tentang sejarah falsafah yang mengisahkan ahli falsafah seperti Thales, Anaximes dan Anaximender berfalsafah bahawa alam ini diciptakan dari api, angin dan air. Adakah renungan ahli-ahli falsafah ini ke atas alam menyebabkan teori sebegitu muncul. Apakah alam ini telah menunjukkan sesuatu dan mengilhami mereka, si ahli falsafah.
Aku lihat gunung ganang yang mengelilingi Danau Maninjau, gunung-ganangnya tegap berdiri, tercacak kukuh melindungi Danau dari anasir luar. Gunung ganang itu seperti penjaga kubu yang bersedia menyerang hendap anasir luar yang cuba mengganngu gugat keharmonian Danau Maninjau. Di atasnya tergantung awan-awan putih seumpama melindungi Danau Maninjau dari terik siang.
Lantas aku teringat akan pesanan prof Zaidi tentang surah al-Baqarah, ayat yang menceritakan tentang kejadian Adam dan kepandaian Adam dalam mengenal 'tanda-tanda'/asma' yang dicipta. Tanda-tanda dicipta bertujuan untuk menunjukkan sesuatu yang ditanda. Sebagai contoh, alamat rumah sebagai tanda digunakan untuk menunjukkan rumah bukan menunjukkan alamat tersebut. Begitulah alam, alam diciptakan untuk menjadi ayaat/tanda/asma kepada Sang Pencipta. Kita punya pencipta yang tiap masa memerhatikan gerak geri manusia. Apakah kita masih punya secebis takbur membesar diri, mengacung hidung ke langit, mengistihar akulah yang berkuasa. Tertunduk malu, menitik air mata mengenangkan kelemahan diri.
Lantas, aku tersandar lemah. Tatkala melihat Danau Manijau dari sudut yang lebih tinggi di Kelok 34. Jalan menuju ke Bukittingi. Rumah Gadang tersergam indah di atas bukit dilatari pemandangan luas Danau Maninjau. Rumah tersebut dihiasi dengan padi sawah yang menghijau dan pohon renek.
Aku terkenangkan pesan Hamka dalam bukunya Falsafah Hidup tentang alam. Beliau menerangkan tentang ilmu yang dikutip dan diisytiharkan oleh manusia hasil dari pemerhatian manusia ke atas alam. Renungan ke atas alam ini membibitkan 'keberanian' di dalam hati manusia untuk mengisytiharkan ilmu-ilmu seperti matematik, biologi, astronomi dan lain-lain. Manusia tidak punya keberanian jika sunnatullah/hukum alam ini tidak terpancar ke dalam mata mereka. Kata-kata 'Alam Takambang jadi Guru' merupakan pepatah Minangkabau sebagai manifestasi alam dijadikan guru untuk pedoman hidup.
Namun, Hamka tidak berhenti sekadar itu, beliau mengulas bahawa alamyang dilihat(manzurah) ini merupakan antara tanda-tanda yang wujud di sekitar kita. Yang lebih utama ialah menilik ke dalam diri sendiri iaitu alam kecil. Bak kata Socrates, "Alam ialah manusia besar, manusia ialah alam kecil." Tiliklah ke dalam diri sedalamnya kerana di sana Allah titipkan hikmah dan pedoman bagi manusia. Untuk menuntut ilmu alam tidak perlu mencari alam yang banyak, cukup sekadar membersihkan hati sanubari dari segala kekotoran. Moga, tersingkap hijab yang menjarakkan manusia dengan Tuhan.

22/04/2015


Keilmuan

Kawan, kamu tahu kenapa aku sayangkan tempat ini? Meluangkan masa sehari semalam berlegar-legar di bumi ini?
Kenapa?
Kerana suasananya. Suasana keilmuan yang wujud di sana sini. Kamu bebas ke mana sahaja sambil menghirup udara keilmuan.
Benarkah? Mengapa hidungku tersumbat dari menghidu, telingaku ter'pekak' dari mendengar, mataku kabur dari melihat suasana tersebut.
Kawan, suasana itu sudah terwujud lama dan mendiam di tempatnya. Tugas kamu untuk mencari dan menggali suasana itu. Umpama batu berlian yang tertanam jauh ke bumi yang dilitupi selut. Gali, bersihkan dan nikmati cahayanya.
Jadi harus bagaimana aku bermula untuk merasainya?
Hargailah ilmu sebagaimana kamu menghargai diri kamu. Tetapi harus diingat, penghargaan itu bermula dari kecintaan, bagaimana mungkin kamu menghargai sesuatu tanpa cinta. Kosong dan pura-pura.
Dari cinta wujud penghargaan, maka wujudlah keinginan untuk memilikinya. Keinginan yang terbit dari hati, umpama matahari yang terbit dari arah timur, tidak cukup kamu melihat tetapi kamu mahu memilikinya! Mendapatkannya merupakan satu hajat, menitikkan satu usaha dan membuahkan segunung nikmat.
Semua ini harus bermula dari monolog, monolog diri.

30/03/2015




Apa itu Ekonomi?

“Economics is the study of how society chooses to allocate its scarce resources for the production of goods and services in order to satisfy unlimited wants.”1

Definisi di atas yang diperkenalkan oleh Lionel Robbins telah menjadi pegangan setiap pelajar ekonomi. Secara mudahnya, definisi ini memberi gambaran bahawa ekonomi merupakan interaksi manusia untuk memuaskan kemahuan mereka menggunakan sumber-sumber yang ada tanpa mengambil berat hubungan-hubungan yang lain.

Namun, jika kita menyingkap perbahasan ekonomi dengan lebih mendalam, kita akan menyedari bahawa perbincangan ekonomi tidak terhad kepada definisi di atas bahkan meliputi bidang psikologi, sosiologi, agama, matematik, undang-undang, ekologi dan lain-lain.  Secara umum, cakupan ekonomi yang diajar di dalam kelas hanyalah berlegar sekitar definisi di atas.

25/11/2014




PENGENALAN
Hasil pemerhatian Za'ba atas perangai masyarakat Melayu yang suka bergantung pada orang lain.
Terbahagi kepada 4 bahagian :
1. keburukan perangai yang bergantung kepada orang Lain
2. Bertaqlid secara membuta tuli
3. Kebajikan vs Kejahatan
4. Kejatuhan dan kepulihan Umat Islam
Bahagian Pertama
- Dua faktor timbulnya Sikap suka bergantung pada orang lain adalah :
*Tidak ada keyakinan pada diri sendiri
*sikap seperti " kutu di atas kepala"
- Sikap pertama: rendah diri yang melampau. Merasakan diri tidak mempunyai kemampuan.
- Sikap kedua : "malas"
Tidak mahu berusaha sendiri. Sentiasa mengharapkan rezeki dari orang lain.

22/11/2014


desakan itu kembali
seolah-olah memaksa diri
untuk bersendiri
dari rutin sehari

bisikan itu terus kembali
bertali-tali
meronta-ronta agar hati
terus berhati-hati

adakah sekadar intuisi
datang dan pergi
tidak kembali
atau petanda Ilahi
untuk kembali
berfikir tentang diri

apakah perasaan ini?
mengepung sanubari,
lalu terberhenti
hari ke hari. 

boleh jadi 
ia petunjuk Rabbani
agar terus berefleksi
untuk sentiasa mengingati
bukanlah kebiasaan itu
manifestasi
pada 
yang hakiki.

ahmad amin
2337